Monday, February 9, 2009

LUAHAN PENYOKONG UMNO TENTANG KRISIS PERAK

Luahan 1 ( Dipetik daripada webblog penyokong UMNO)

Saya ingin merakamkan perasaan terkilan saya tentang apa yang berlaku pada masa ini di Perak. Sebagai seorang anak Perak dan juga penyokong UMNO saya berpendapat parti UMNO juga tidak boleh lari dari hakikat bahawa kita juga bersalah dalam hal ini. Disebabkan desakan politik, kita telah mempertaruhkan maruah dan kredibiliti kita apabila kita bersekongkol dengan pak lompat dari PKR yang kita tahu tidak menunjukkan nilai dan ciri yang kita nobatkan kepada pemimpin-pemimpin kita. Masa berkempen dahulu kita beriya-iya memperjelaskan kepada masyarakat betapa bersungguhnya barisan kepimpinan parti dalam memperbaharui UMNO supaya cekap, bersih dan amanah melalui Islam Hadhari. Saya tahu alasan yang diberikan ialah mereka yang lompat dari PKR tidak menyertai UMNO, tapi timbul pula persoalan kenapa bersekongkol dengan mereka yang sendirinya mengaku telah melakukan zina. Saudara Jebat mungkin tidak berapa peka dalam hal ini, maklumlah duduk dibandar besar perkara sebegini mungkin perkara biasa tapi kami yang duduk dikampung perkara seperti ini perlu diperjelaskan kepada masyarakat. Sebagai parti yang cuba menegakkan syiar Islam agak janggal untuk kita perjelaskan apa yang telah kita lakukan. Rakan seangkatan berkata terima saja, ini namanya RealPolitik. Saya kurang arif tentang RealPolitik tapi ianya bermaksud menjual maruah agama, tidak keterlaluan jika saya kata, ini politik ala Yahudi. Dan kita sendiri tahu apa yang dijanjikan oleh Allah kepada Yahudi laknatullah.
Apakah ini yang dinamakan dilemma kemenangan? Saya gembira kita dapat semula berkuasa tapi terasa dukacita jika inilah satunya cara untuk berkuasa.
Saya hanya ahli biasa, mungkin luahan saya ini akan diperlekehkan. Tak mengapa, Allah saja yang mengadili, kita semua hanya hambanya. Mohon maaf jika menulis dalam Bahasa Melayu, bahasa yang dikotak-katikkan oleh bangsa sendiri.

Luahan 2 ( Dipetik dari webblog penyokong UMNO)

Ramai disini secara terang menyalahkan Pakatan dan penyokongnya. Saya akui perbuatan penyokong Pakatan dilihat amat pelik dan huru-hara bermula Jumaat lalu. Tetapi dalam sehari dua yang lepas penyokong kerajaan Barisan juga dilihat turun ke jalanan untuk menunjuk perasaan. Penyokong Pakatan menunjuk perasaan dengan laungan bubarkan DUN dan penyokong kerajaan Barisan dengan Daulat Tuanku. Sama sahaja mereka turun ke jalanan untuk menunjuk perasaan, cuma bezanya satu pihak agresif dan satu pihak lagi tidak. Tetapi hakikatnya kedua-dua pihak kini mempunyai penyokong mereka dijalanan menunjuk perasaan. Dengan kata lain demonstrasi. Ini semua menurut saya, Najiblah puncanya. Memilih untuk berbeda kerana tercetusnya huru dan hara ini adalah disebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Perak secara paksaan melalui pintu belakang. Secara tegasnya idea ini cuma terkandung dalam retorik Anwar, tetapi malangnya dicedok dan diamalkan oleh Najib. Persoalan saya cuma kenapa perlu tergesa menerima pelompat dan tergesa juga untuk mengambil alih kuasa di Perak? Barisan masih bermandat penuh di Perseketuan, dengan kuasa yang ada buatlah kerja agar rakyat lima negeri ini dapat dipujuk semula. Kenapa tidak sabar? Jika ada pun pelompat yang menyatakan sokongan ikhlas, lakukan sahaja di sidang DUN yang sahihlah MB Pakatan akan terlucut. Penyokong kedua pihak adalah rakyat, bermakna sekarang rakyat juga bertelagah sesama sendiri. Maka, dimana kebaikannya untuk rakyat di Perak seluruhnya jika Barisan mengambil alih sesegera begini. Benar kata JMD, rakyat ada pilihan untuk tidak membaling batu atau untuk tidak berdemo, tetapi pemimpin juga ada pilihan untuk memilih apa yang terbaik untuk rakyat mereka. Apakah kini rakyat Perak sudah dapat yang terbaik melalui pilihan yang dibuat pemimpin UMNO/BN terutama Najib? Kita bakal tahu tidak lama lagi melalui keputusan PRK parlimen Bukit Gantang.

No comments:

Post a Comment